Friday, March 9, 2012

PELIK TAPI BENAR - MOTIF PEMBUNUHAN TIDAK PENTING?

Kes Altantuya: Kenapa motif pembunuhan tidak dijelaskan?

(Oleh: Martin Mohd Kahar)

KUALA LUMPUR, 6 Mac: KEADILAN mempersoalkan penghakiman penuh kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu yang tidak menyatakan motif pembunuhan secara langsung wanita berkenaan.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, dalam sistem keadilan, motif pembunuhan amat penting untuk merujuk apakah niat tertuduh melakukan jenayah tersebut.

 
 
“Ia juga berkait rapat siapa lagi yang terlibat di sebalik pembunuhan ini dan siapa yang mengarahkan suspek melakukan pembunuhan,” katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.

Semalam, Hakim dalam kes pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu tidak menyentuh secara langsung mengenai motif dua anggota polis yang dituduh membunuh wanita Mongolia itu dalam penghakiman penuh selepas memberikan keputusan perbicaraan berkenaan dua tahun lalu.

“Walau apapun motif itu, ia adalah perkara undang-undang di mana motif walaupun releven, adalah tidak penting untuk pembunuhan itu dijalankan,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yasin dalam penghakiman bertulisnya setebal 70 mukasurat.

Beliau bagaimanapun menyatakan seorang dari tiga tertuduh iaitu Abdul Razak Baginda mungkin mempunyai motif untuk membunuh Altantuya kerana wanita tersebut pernah mengugut penganalisis politik itu.

Namun, hakim berkata ia tidak boleh jadi asas kepada mahkamah memanggil tertuduh berkenaan untuk membela diri.
 


Mengulas lanjut, Surendran berkata tindakan mahkamah itu menimbulkan banyak persoalan adakah ia percubaan untuk melindungi pihak lain yang didakwa terlibat dalam kes berkenaan.

“Kita lihat ia (penghakiman penuh itu) sesuatu yang aneh. Kita tak tahu apa motif mahkamah,” ujarnya.

Mayat Altantuya dijumpai diletupkan dengan bahan peledak C4, di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam pada Oktober 2006.

Dalam kes itu, tiga tertuduh dihadapkan ke mahkamah, termasuk Abdul Razak Baginda- kenalan rapat perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Abdul Razak kemudian dibebaskan oleh mahkamah pada Oktober 2008 tanpa diarah membela diri.

Bagaimanapun, dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas – Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar , yang juga pengawal pengiring Najib- didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung.

Pada 2009, seorang bekas anggota cawangan khas, P Balasubramaniam yang juga pernah bertugas untuk Abdul Razak mengaitkan pembunuhan Altantuya dengan Abdul Razak dan Najib dalam akuan bersumpahnya./KeadilanDaily