Friday, May 20, 2011

MENGENALI EZAM DAHULU, EZAM SEKARANG

 

Apabila berkawan dengan kaki fitnah.....
Senator Ezam Mohd Noor, bekas orang kuat Dato' Seri Anwar membuat kenyataan terbarunya di Utusan Malaysia Online menuntut agar mantan bosnya itu bersumpah di dalam isu video seks yang hangat diperkatakan. Sudah dijangka Ezam akan terus menyerang Ketua Umum PKR ini dan tidak pernah Ezam tidor lena sekiranya tidak memburukkan dan mengaibkan tokoh yang pernah dipujanya dulu.

Berkaitan isu sumpah ini tidak lagi menghairankan bagi kita di dalam PKR khususnya kerana ini bukan pertama kali Dato' Seri Anwar dicabar berbuat demikian. Cuma kita merasa kesihan dengan sikap bekas Ketua Pemuda KeADILan (kini AMK) yang dahulunya terkenal dengan seorang yang berprinsip. Di mana prinsip beliau sekarang? Usahkan mahu mempertahankan prinsip dan hukum Islam di dalam isu ini, Ezam ternyata gagal mempertahankan kenyataan beliau sebelum ini.
Sebelum in, Ezam pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan percaya lagi kepada Dato' Seri Anwar walaupun Dato' Seri Anwar bersumpah. Kenyataan beliau boleh dibaca di sini. Jika sudah tidak mahu percaya, mengapa sibuk-sibuk Ezam mendesak agar Dato' Seri Anwar bersumpah? Selain daripada bersumpah, beliau juga mendesak agar Ketua Umum PKR itu melakukan;

  • Melakukan sumpah laknat menafikan Anwar bukan lelaki dalam video seks.


  • Menjalani ujian poligraf bagi membukti mereka tidak berbohong.


  • Menyaman Datuk Shazryl Eskay Abdullah.


  • Tuduh Shazryl Eskay sebagai pembohong.

  • Di antara yang Ezam gariskan itu, saya tidak tahu yang mana satu yang Allah anjurkan kepada kita umat Islam di dalam menangani isu tuduhan zina ini. Khabarnya Ezam orang yang berugama dan kuat pegangan agamanya sehinggakan dikatakan sewaktu ditahan di dalam penjara dulu beliau sering membaca Al-Quran. Peliknya, ke mana ayat Al-Quran yang beliau baca itu dicampakkan? Mengapa Ezam meletakkan dirinya setaraf dengan Datuk Eskay dan gerombolan mereka? Adakah ini yang Allah maksudkan apabila manusia itu khianat, mereka akan dihina dan dijatuhkan darjat mereka di dunia ini lagi. Alhamdulillah, Dato' Seri Anwar tetap komited dengan pengakuannya dan memilih Islam sebagai penyelesaian dan keadilan, bukan sesumpah atau 4 perkara yang Ezam sebutkan di atas.

    Sedarlah wahai Ezam, insaflah kerana dendam kesumat itu tidak akan membawa ke mana-mana walau berapa penggal sekalipun kamu akan dilantik sebagai Senator. Kemuliaan di sisi manusia lebih-lebih lagi di sisi Allah SWT itu yang harus dicari. Berfikirlah sejenak, mengapa di dunia lagi kita dihina oleh masyarakat walaupun kita berada bersama golongan penguasa.

    Memang benar, Ezam pernah berjuang dan masuk penjara kerana melawan rasuah suatu ketika dahulu. Beliau masuk penjara kerana mendedahkan fail rahsia (Akta OSA) kes rasuah melibatkan Rafidah Aziz dan waktu itu beliau dilihat berani dan disanjung. Namun akhirnya, Ezam sendiri terjun ke dalam Umno dan berada `sekapal' dengan Rafidah Aziz . Rafidah Aziz tidak didakwa dan Ezam pula sudah tidak menyebut hal itu lagi. Kini, Ezam menjadikan Dato' Seri Anwar sebagai `bahan' untuk beliau `mencari makan' di dalam Umno. Itulah penghinaan namanya.

    Mudah-mudahan Ezam akan pulih semula dari ingatannya. Nasib malang menimpa Ezam menjadi pengajaran kepada kita di dalam PKR agar tidak mementingkan diri sendiri sehingga sanggup memakan daging kawan atau bekas ketua kita sendiri./PKR Pahang

    Monday, May 9, 2011

    PAS : Utusan Makin Melampau

    SHAH ALAM 8 MEI : PAS menggesa tindakan tegas dikenakan ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia yang dalam laporannya mendakwa pemimpin Kristian berkonspirasi dengan DAP untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara kerana laporan tersebut langsung tiada logik dan tidak berasas, lapor Harkahdaily.

    “Dengan segala kekuatan DAP sahaja, ia adalah mustahil untuk melakukan dakwaan tersebut kerana jumlah ahli parlimen mereka tidak mencukupi, bahkan atas nama Pakatan Rakyat sekalipun, tak mungkin PAS dan PKR akan bersetuju, lagi-lagi DAP pun tidak akan mencadangkan usul yang cukup tidak logik tersebut.

    “Sehubungan itu, pihak keselamatan harus bertindak ke atas laporan yang diberi berdasarkan makluman tidak benar dan tidak logik ini,” kata naib presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya.

    Laporan muka depan Utusan Malaysia semalam bertajuk “Kristian agama rasmi?” ditulis berdasarkan dakwaan oleh dua blogger pro-Umno yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara agar golongan beragama Kristian boleh menjadi perdana menteri. Dalilnya mereka cuma sekeping gambar kabur yang didakwa sebagai pakatan rahsia antara DAP dan paderi Kristian di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

    Mengulas taktik kotor Utusan Malaysia, Tuan Ibrahim menyifatkan laporan berkenaan tidak logik kerana sebarang dasar negara memerlukan persetujuan majoriti dalam parlimen yang terdiri daripada ahli parlimen yang sebahagian besar mereka beragama Islam.

    “Pindaan dasar negara bukan boleh dibuat dalam mesyuarat di hotel atau dalam majlis tertutup. Sebarang pindaan perlembagaan tentu akan dibincangkan di parlimen, dan kalaulah ini terjadi, apakah wakil rakyat yang majoritinya beragama Islam akan bersepakat dan bersetuju dengan pindaan tersebut?

    “Sudah tentu tidak. Lebih-lebih lagi, Pakatan Rakyat sudah awal-awal lagi mengisytiharkan bahawa kita akan mendokong sepenuhnya Perlembagaan Malaysia, lebih-lebih lagi Islam sebagai agama rasmi negara,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

    Lantaran itu, Tuan Ibrahim mengingatkan akhbar-akhbar dan media supaya lebih bertanggungjawab dan jangan memainkan sentimen rakyat yang boleh menimbulkan ancaman kepada kestabilan negara semata-mata untuk kepentingan politik.

    PAS, katanya kini melihat Utusan Malaysia menjadi semakin melampau dalam pemberitaan mereka kerana ‘kebebasan suara’ dwi-standard kerajaan yang memberikannya kebebasan untuk membuat apa sahaja kerana ia milik Umno.

    “Bayangkan kalau akhbar Harakah ataupun Roket yang menyiarkan berita sensitif seperti itu, tentu mereka dikenakan denda dan ditarik permit segera.

    “Tindakan double standard inilah yang menyebabkan media milik parti pemerintah semakin biadab dan semakin berani secara terang-terangan menyiarkan pelbagai perkara yang bercanggah dengan peraturan seperti klip seks video dan perkara-perkara perkaumanan,” bidas Tuan Ibrahim.

    Jikalau diikutkan peraturan tegas yang dikenakan terhadap media alternatif, Tuan Ibrahim berkata sepatutnya permit akhbar Utusan Malaysia sudah ditarik balik oleh Kementerian Dalam Negeri kerana seringkali memainkan sentimen perkauman dan agama yang mencetuskan amarah rakyat berbilang kaum.

    “Sebelum ini, akhbar inilah yang memainkan isu 1Melayu, 1Bumi, isu kritikan kepada raja-raja Melayu satu masa dahulu dan pelbagai isu yang bertentangan dengan kebenaran permit yg dikeluarkan.

    Sehubungan itu, PAS menggesa agar kerajaan menarik balik permit akhbar Utusan Malaysia.

    “Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishamuddin Hussein) seharusnya merasa malu sekiranya gagal bertindak dan fenomena ini seandainya tidak dibendung, ia tidak mustahil menyemarakkan api permusuhan antrara agama dan kaum,” tegas Tuan Ibrahim.

    Wednesday, May 4, 2011

    BENARKAH CERITA TENTANG ESKAY INI ?

    Siapakah Eskay?

    1) Eskay asalnya beragama Hindu. Bapa beliau berbangsa India dan ibu berbangsa Siam. Beliau anak ke-3 dari 4 adik beradik dengan seorang abang, dan seorang kakak, serta seorang adik. Nama abang Eskay adalah Chandran.

    2) Tujuan Eskay memeluk Islam adalah untuk membolehkan beliau mendapat status 'Melayu/bumiputera' bagi mempermudahkannya dalam urusan perniagaan dengan kerajaan. Namun begitu Eskay tidak mengamalkan cara hidup Islam dan sering bergelumang dgn maksiat.

    3) Eskay bercita-cita tinggi dan juga berminat dengan politik. Beliau pernah cuba merasuah pegawai JPN bagi menukar status bangsanya dari 'India' kepada 'Melayu/bumiputera' semata-mata kerana ingin memudahkan urusan perniagaannya. Eskay juga didakwa berminat untuk menjadi ahli UMNO tetapi gagal kerana status bangsanya.

    4) Eskay mempunyai tabiat kuat minum dan suka mabuk. Tempat beliau berhibur adalah di salah sebuah bar di Hotel Armada PJ. Ketika mabuk, tabiat Eskay akan minum dengan gelas yang kacanya bukan dari jenis lutsinar supaya orang lain tak nampak apa yang diminumnya.

    5) Eskay juga pernah mengadakan hubungan sulit dengan setiausaha peribadinya bernama Farah Hida. Farah Hida akan sentiasa menemani Eskay ke mana-mana beliau pergi termasuk lawatan-lawatan kerja ke luar negara. Eskay juga akan seringkali ke Hotel Armada PJ sekiranya ingin menjalankan aktiviti seksual.

    6) Menurut orang yang rapat dengan Eskay, beliau kini sudah putus dengan Farah Hida dan mempunyai teman wanita yang baru dan tinggal bersekedudukan bersama-samanya di sebuah kondominium di Ampang.

    7) Isteri Eskay pula kini tinggal di Sungai Petani bersama ibu bapanya. Difahamkan mereka masih suami isteri namun tidak lagi tinggal sebumbung.

    Inikah orang yang mahu dipercayai sumpahnya? Orang seperti ini yang mahu dipercayai kesaksiannya? Beliau juga telah melakukan beberapa penipuan dan penyelewengan di dalam perniagaan, nantikan pendedahannya...

    Sumber: http://milosuam.blogspot.com/2011/05/siapakah-sebenarnya-datuk-shazryl-eskay.html#ixzz1LOQdt5Wo

    FOTO AKSI MENARIK SUMPAH `THREE STROOGES'

    Tuesday, May 3, 2011

    Kecurigaan Anwar terhadap Hishamuddin, polis berasas- Johari

    PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, kecurigaan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussien terlibat dalam kes video fitnah adalah berasas.

    Justeru itu, katanya, Anwar mempunyai sebab untuk mengatakan polis turut terlibat dalam video fitnah berkenaan, memandangkan pihak polis berusaha melengahkan siasatan dan menangkap Trio Datuk T- dalang yang menyebarkan video itu.

    Johari berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussien, yang mahu menyaman Anwar kerana mengaitkan beliau dalam isu itu.

    “Apa sebenarnya keutamaan Hishamuddin dalam menangani kes video hitam putih ini. Polis lambat bertindak apabila ketiga-tiga datuk T membuat sidang media mengakui mereka terlibat dalam tayangan video seks ini. Anwar juga telah membuat laporan. Jadi apa bukti yang kamu (polis) hendak lagi.

    “Sepatutnya Hishamuddin ambil tindakan dengan mengambil prosedur biasa mengikut undang-undang, seperti juga kes-kes yang lain apabila seseorang mangsa mengadu, dan saspek telah mengaku. Polis kena ambil tindakan dengan menyiasat dan mendakwa dia (Trio Datuk t),” ujarnya ketika ditemui di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

    Menurutnya, trio Datuk T telah secara terang mengaku mendedahkan video tersebut kepada orang ramai, yang nyata bercanggah dengan undang-undang iaitu Seksyen 5, Akta Penapisan filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menayang video lucah.

    “Itu (polis bertindak) terlalu lambat. Pada 21 Mac video ditayangkan, seminggu tak ada apa lagi (tangkapan). Kalau sebagai pemimpin, sudah tentu Anwar mempunyai kecurigaan mengatakan polis terlibat.

    “Oleh kerana polis lambat bertindak dan orang yang kena fitnah ini (Anwar) merasakan polis mengambil kes ini sambil lewa, sudah tentu dia mempunyai pemikiran bahawa kelewatan ini ada hubungkait dengan polis.

    “Ini soal maruah. Dia (Anwar) mempunyai sebab musabab yang tinggi untuk mempercayai kelewatan polis bertindak dengan membuat kenyataan besar kemungkinan polis terlibat,” tegasnya lagi.

    Sementara itu, Naib presiden KEADILAN, Dr Mansor Osman pula berkata, beliau yakin Anwar tidak gentar dengan ancaman tersebut.  Kalau benar, biarkan sahaja dia memfailkan saman. Kemudian kita, rakyat Malaysia boleh melihat kemampuannya sama ada wujud bukti bahawa polis tidak berpihak kepada kerajaan yang memerintah,” kata Mansor.

    “Apa yang dilakukan oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional akan ‘backlash’ kepada mereka, sehinggakan Barisan Nasional sesama mereka sendiri tidak yakin dengan isu tersebut.

    “Manakala sokongan rakyat semakin tinggi terhadap kita. Ahli KEADILAN semakin teguh pendirian untuk mempertahan parti,” kata Mansor./KeadilanDaily